KPDN kaji beri e-dompet RM20 setiap hari, tarik pengunjung ke bazar Ramadan People’s Park

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji jika ada keperluan untuk meneruskan pemberian nilai tambah e-dompet (e-wallet) RM20 kepada pengunjung Bazar Ramadan Rahmah (BRR) @ People’s Park supaya dapat menarik lebih ramai orang berbelanja di bazar tersebut.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata jika bersesuaian, insentif e-dompet itu akan diberikan pada setiap hari atau lebih kerap kepada pengunjung.
Menurutnya, sebelum ini KPDN mengumumkan pengunjung bazar itu berpeluang menerima tambahan nilai e-dompet terhad kepada 600 orang pertama untuk 10 hari terpilih sahaja.
Katanya, bazar tersebut dilihat mendapat sambutan jika gerai untuk menebus nilai tambah e-dompet dibuka.
“Kita sedang kaji sama ada pemberian e-wallet akan dilanjutkan. Jika bersesuaian, kita akan mengadakan pemberian tambah nilai e-wallet itu setiap hari atau lebih kerap.
“Jadi, kita berharap sambutan pengunjung ke bazar akan melonjak selepas ini. Pelaksanaan ini juga adalah sebagai penanda aras sama ada BRR akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Sandrea Ng turut mendengar rintihan peniaga yang rata-rata mengadu bahawa perniagaan mereka kurang stabil dan faktor cuaca antara sebab jualan mereka kurang menberangsangkan.
“Hari ini saya datang untuk dengar maklum balas pengunjung, peniaga, dan pegawai terlibat untuk kami cuba bantu.
“Dari segi publisiti, sebelum ini khususnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah buat melalui bunting, led TV, media sosial dan hebahan akhbar serta diuar-uarkan melalui agensi kerajaan.
“Justeru, saya berharap lebih ramai akan datang berkunjung ke sini dan peniaga pula perlu beri komitmen untuk berniaga setiap hari siapa pengunjung dapat membuat lebih banyak pilihan.
Beliau berkata, Taman Persisiran Ipoh Riverfront atau lebih dikenali sebagai People’s Park adalah satu lokasi istimewa yang patut dikunjungi.
“Lokasi ini amat istimewa kerana berada dalam kawasan taman dan pengunjung boleh berbuka puasa dengan cara piknik.
“Kalau nak pindah (tapak niaga), masa sudah terlalu singkat, jadi kita akan fokus macam mana untuk teruskan publisiti supaya orang ramai dapat berkunjung ke sini,” jelasnya.
Terdahulu, Sandrea Ng melawat 12 daripada 27 gerai yang dibuka pada Isnin sambil mengedarkan topi dan apron daripada MBI.
Sebelum ini, media melaporkan peniaga di BRR @ People’s Park meluahkan rasa sedih kerana perniagaan mereka tidak mendapat sambutan akibat pengunjung kurang singgah ke lokasi berkenaan.
#PerakKini #MBI #KPDN #BazarRamadanRahmah #PeoplesPark #edompet #RBZ
