Orang awam berurusan di HRPB, KK Greentown diberi ‘kelonggaran’ parkir – Exco

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan Negeri Perak sudah berbincang dengan polis supaya orang awam yang berurusan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) atau Klinik Kesihatan (KK) Greentown diberi kelonggaran untuk parkir di tepi jalan sehingga kerja naik taraf parkir di hadapan klinik itu siap sepenuhnya Mei ini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Negeri Perak, A Sivanesan berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri untuk berbincang mengenai perkara itu pada Isnin.
Bagaimanapun menurutnya, orang tidak dibenarkan untuk double park atau meletakkan kenderaan dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Saya sudah minta kerjasama polis kerana kawasan parkir yang sepatutnya boleh menempatkan 240 kenderaan di hadapan KK Greentown sedang dinaik taraf.
“Kerja ubah suai (dijangka) akan tamat 23 Mei ini iaitu lebih kurang dua bulan, jadi saya minta kerjasama daripada polis supaya jangan keluarkan saman dan bagi kelonggaran terhadap pelawat HRPB.
“Ketua Polis juga akan ambil perhatian tetapi double parking tidak akan dibenarkan. Single parking boleh tetapi jangan sampai mengganggu jalan.
“Dalam tempoh satu bulan setengah ini saya percaya polis akan beri kerjasama berhubung perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Media bersama Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Negeri Perak anjuran Persatuan Pengamal Media Perak di Restoran D’ Atas, malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan Sivanesan berkata bagi tempoh jangka masa panjang pihaknya turut melihat bagaimana cara terbaik untuk menyelesaikan isu parkir di hospital sekitar negeri ini.
“Isu kekurangan parkir ini bukan sahaja di HRPB malah di Hospital Teluk Intan, Manjung, Taiping dan beberapa hospital lain turut mengalami masalah sama.
“Buat masa ini saya sedang mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat dari negara China yang membuat tawaran untuk membina tempat letak kereta bertingkat.
“Segala perbelanjaan akan ditanggung mereka. Jadi, saya minta mereka untuk kemukakan kertas kerja.
“Kerajaan negeri tidak perlu menanggung apa-apa kos dan jika berjaya (tempat letak kenderaan) akan seperti Hospital Universiti di Petaling Jaya sekali gus dapat selesaikan masalah ini (parkir).
“Bagaimanapun, orang awam yang ingin meletakkan kenderaan di parkir tersebut perlu bayar sedikit tetapi keselamatan kenderaan lebih terjamin,” jelasnya.
Sementara itu, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud pada 11 April ini bagi membangkitan isu berkenaan.
#PerakKini #HRPB #KKGreentown #kurang #parkir #saman #PDRM #MBI #RBZ
