Ayam masak merah dipercayai punca 60 pelajar MRSM Gerik keracunan makanan

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seramai 60 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gerik mengalami keracunan makanan dipercayai selepas makan lauk ayam masak merah ketika berbuka puasa pada Ahad lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Negeri Perak, A Sivanesan berkata keracunan makanan itu membabitkan pelajar tingkatan satu hingga lima dan gejala pertama dikesan pada jam 8 malam hari yang sama dan yang terakhir pada jam 7 pagi Isnin.

Menurutnya, pelajar terbabit mengalami gejala antaranya sakit perut, cirit birit, muntah dan sakit kepala.

Katanya, kesemua pelajar dirawat oleh pasukan perubatan mobil Hospital Gerik sebagai pesakit luar.

“Berdasarkan siasatan, makanan yang disyaki adalah menu ayam masak merah yang dimakan sewaktu berbuka puasa.

“Temubual dengan pelajar mendapati masakan ayam masak merah itu telah berbau semasa dimakan.

“Ayam mentah yang digunakan juga dipercayai telah rosak sebelum dimasak disebabkan bau yang kurang menyenangkan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Sivanesan berkata susulan kejadian itu sebanyak 10 sampel klinikal telah diambil dan dapur asrama diarahkan tutup selama tiga hari di bawah Akta Makanan 1983 bagi tujuan pembersihan.

Pada Januari 2018, seramai 34 pelajar di MRSM sama terpaksa menerima rawatan apabila dipercayai mengalami keracunan makanan.

#PerakKini #MRSMGerik #keracunanmakanan #ayammasakmerah #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *