MAAF YOP! GUNTING RAMBUT UNTUK ORANG TEMPATAN SAHAJA

Oleh Intan Efazila Md Yusop
SLIM RIVER:Demi keselamatan, salah seorang pengusaha kedai gunting rambut hanya menawarkan perkhidmatan gunting rambut untuk orang tempatan sahaja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dekat sini.
Pengusaha kedai gunting rambut, Tot Barber Shop di Taman Permai ,Slim River, Muhamad Mirza Mohd Nazari, 27, berkata ketika kedai gunting rambut itu mula beroperasi pada 10 Jun yang lalu didapati ramai orang luar dari negeri ini juga turut mengunjungi kedainya itu.
Katanya, keadaan ini timbul disebabkan lokasi kedainya itu terletak di sebelah restoran makanan berhampiran Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur.
” Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan disusuli PKPP menyebabkan segelintir pemandu dari arah utara dan selatan mula melakukan rentas negeri dengan menggunakan jalan persekutuan terbabit.

” Setelah ternampak kedai gunting rambut dibuka, ramai orang luar negeri ini mula masuk ke kedai untuk mengunting rambut dan apabila ditanya mereka mengakui bukanlah orang tempatan tetapi kebetulan singgah untuk berehat dan menjamu selera seketika,” katanya.
Muhamad Mirza berkata walaupun beliau dan pekerjanya, Muhamad Rafiq Azmi,24, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memakai penutup muka plastik, pelitup muka, sarung tangan dan apron plastik tetapi demi keselamatan beliau terpaksa hanya mengutamakan orang tempatan sahaja.
Katanya, dengan cara berkhemah juga beliau memaklumkan peraturan yang ditetapkan oleh kedai beliau sendiri ketika tempoh PKPP kepada pelanggan dari luar negeri itu, akhirnya mereka memahami dan akur dengan peraturan terbabit.
” Hari pertama kedai ini dibuka, saya bersama pekerja tidak menang tangan apabila diserbu oleh pelanggan tempatan sehingga mereka terpaksa beratur menunggu giliran di luar kedai.
” Oleh kerana itu, saya lebih mengutamakan pelanggan tempatan yang membuat tempahan perkhidmatan terlebih dahulu supaya saya dan pekerja dapat menawarkan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata had masa untuk menggunting rambut seseorang bukannya boleh ditetapkan kerana setiap pelanggan mahukan fesyen rambut yang tertentu yang ada kalanya memerlukan tempoh masa yang agak lama.
Katanya, di samping gunting rambut, ada juga pelanggan yang mahukan perkhidmatan membasuh rambut dan melakukan terapi muka menyebabkan menggalakkan pelanggan tempatan membuat tempahan perkhidmatan lebih awal.
