KAYUH 64 KM DEMI DURIAN

Oeh Intan Efazila Md Yusop
MUALLIM: Seramai 12 penggemar durian sanggup membuat kayuhan menempuh perjalanan kira-kira 64 Kilometer (KM) untuk menikmati durian di salah sebuah dusun durian di Behrang Ulu, dekat sini.
Perjalanan bermula di Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh disusuli jalan kampung sebelum mendaki kawasan bukit dan menaiki pacuan empat roda ke dusun yang dikelilingi alam flora serta fauna yang terletak di kaki Banjaran Titiwangsa.
Ketua peserta kayuhan, Amirul Faris Apandi, 34, berkata semua peserta yang terbabit kayuhan ke dusun teruja membuat kayuhan ke dusun terbabit untuk menikmati buah raja buah itu.



Katanya, walaupun kekuatan fizikal dan mental agak berkurangan kerana sudah lama tidak melakukan aktiviti ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, namun peserta tetap bersemangat menempuh cabaran di sepanjang perjalanan.
” Rasa buah durian Raja Kunyit atau Musang King dan IOI yang ditanam di kawasan banjaran ini memang mempunyai yang kelainan jika dibandingkan dengan tempat lain.
” Walaupun kayuhan amat memenatkan ,namun berbaloi selepas menikmati kedua jenis durian terbabit sambil menikmati keindahan alam flora dan fauna di kaki banjaran ini,” katanya ketika ditemui dekat Behrang Ulu.
Sementara itu, rakannya yang tinggal di Damansara, Kuala Lumpur, Azhari Muhammad, berkata biasanya beliau membuat kayuhan untuk tujuan rekreasi pada hujung minggu sahaja.
Katanya, kali ini lain pula tujuan kayuhan membuatkan beliau sanggup datang dari jauh untuk merasai keenakkan raja buah yang terdapat di kawasan terbabit.
” Memang berbaloi ,walaupun kadangkala terpaksa menolak basikal ketika mendaki bukit berbatu dan mengandar basikal ketika dalam perjalanan ke dusun durian itu,” katanya.
Bagi, Rafie Muhammad, 34, yang juga berasal dari Kuala Lumpur pula berkata beliau tidak hairan jika orang ramai sanggup membeli durian dengan harga ratusan ringgit.
Katanya, raja buah yang biasanya mudah didapati ketika musim durian sahaja memang berbaloi jika dimakan begitu sahaja tetutama menikmati secara berkumpulan bersama rakan.
Peserta kayuhan menikmati durian dengan dikelilingi keindahan alam flora dan fauna Banjaran Titiwangsa di salah sebuah dusun dekat Behrang Ulu, dekat sini.
