Bantuan Khas Aidilfitri: Penjawat awam di Perak terima ‘duit raya’ RM700
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Aidilfitri sebanyak RM700 kepada seluruh penjawat awam negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bantuan berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM5.6 juta serta memanfaatkan 7,892 penjawat awam di Perak.
Menurutnya, bantuan itu akan mula disalurkan pada 17 April ini.
“Penerima bantuan khas tersebut termasuklah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru i’dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, Orang Besar Jajahan dan pegawai sambilan harian.
“Seperti tahun lalu, bantuan Khas Aidilfitri akan turut disalurkan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri dengan kadar RM500 seorang.
“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam memikul tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia pada Khamis.