MBI telah agih 50,323 tong sampah percuma hingga Mac

Foto Majlis Bandaraya Ipoh
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengedarkan tong sampah percuma kepada 50,323 unit rumah kediaman di sekitar bandar raya Ipoh bermula dari April 2021 hingga Mac tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata tujuan penganjuran Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah di kalangan warga Ipoh ini diadakan adalah untuk meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih dalam usaha untuk merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia pada tahun 2023.
“Hasrat MBI adalah untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Bestari Sejahtera serta Bandar Terbersih 2023 di Malaysia tidak hanya memadai dengan penyediaan perkhidmatan, infrastruktur dan kemudahan awam kepada masyarakat.
“Sebaliknya masyarakat perlu dididik untuk berubah ke arah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar.
“Justeru, melalui program ini, diharap penduduk Ipoh dapat menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai budaya seawal dari rumah seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan kebersihan serta keindahan persekitaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Penyerahan Tong Sampah kepada penduduk di Taman Meru 2B, pagi Ahad.
Sejumlah 714 unit tong sampah telah diagihkan kepada penduduk di taman berkenaan.
Hadir sama, Ahli Majlis MBI, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz dan Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak.
Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata diharap melalui program ini dapat mewujudkan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan serta menjadikan amalan tersebut sebagai satu budaya seawal dari rumah seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan kebersihan dan keindahan persekitaran.
“Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitei yang hampir tiba juga, pengedaran tong sampah di taman ini diharap dapat digunakan dengan baik oleh penduduk dalam memastikan kebersihan dan persekitaran sentiasa terpelihara,” katanya.
#PerakKini #MBI #tongsampah #Aidilfitri #Ipoh
