Pertandingan pelita panjut dimasukkan dalam kalendar pelancongan Ipoh – Datuk Bandar

IPOH – Tidak mahu tradisi memasang pelita panjut menjelang Aidilfitri ditelan zaman, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan panjut hiasan antara sektor jabatan pihak berkuasa tempatan itu.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata pertandingan yang diadakan secara dalaman buat julung kali itu akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan tahun depan
memperluas penyertaan kepada orang ramai.
“MBI cuba nak kembalikan nostalgia yang masih tak lapuk dek zaman agar generasi masa kini tidak lupa adat budaya mereka, itu yang paling penting.
“Zaman kini sudah berubah kerana tidak kira di kota atau desa, pelita panjut sudah berganti lampu kelip berwarna-warni jadi kita ambil inisiatif selaras Tahun Melawat Ipoh 2023,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Pesta Panjut Antara Sektor MBI di sini malam tadi.
Katanya, pelita panjut di Padang Ipoh itu akan terus dinyalakan sehingga hari raya ketiga bagi memberi peluang kepada warga Ipoh menyaksikan keunikan pesta panjut.
Padang Ipoh dipilih untuk pertandingan pelita panjut itu kerana ia ialah kawasan tengah bandar raya Ipoh bagi mewujudkan segi tiga pelancongan yang ada di bandar itu.
Sementara itu, Rumaizi turut mencadangkan orang ramai yang beriadah termasuk berbuka puasa bersama keluarga di Padang Ipoh sambil bersantai pada musim cuti untuk melihat pesta panjut berkenaan. – BERNAMA
