Ipoh catat peningkatan lebih 200 peratus kes demam denggi

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menunjukkan peningkatan 265.9 peratus bersamaan 472 kes sehingga 22 April lalu berbanding 129 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata melalui Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Denggi di kawasan pentadbiran MBI serta aktiviti pencegahan dan kawalan dengan kerjasama dari semua pihak, bilangan lokaliti wabak dapat dikurangkan dalam dua tempoh minggu yang lalu.
“Kerjasama dari semua pihak dalam memastikan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan ades di dalam dan di kawasan persekitaran rumah amat diperlukan bagi membendung penularan wabak denggi,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan April 2023 di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata sehingga Rabu (26 April), terdapat lima lokaliti wabak iaitu Halaman Meru Permai dengan tiga kes yang dijangka tamat pada 6 Mei, Taman Maxwell (lapan kes, dijangka tamat 2 Mei), Kampung Baru Tambun (dua kes, dijangka tamat 1 Mei), Taman Kinta Mas (dua kes, dijangka tamat 2 Mei) dan Taman Camay (tiga kes, dijangka tamat 4 Mei).
“Sementara lokaliti wabak tidak terkawal adalah di Halaman Ampang Mewah dengan 15 kes dan dijangka tamat 27 April, Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 (tujuh kes, dijangka tamat 1 Mei), Taman Cempaka (tujuh kes, dijangka tamat 8 Mei) serta Kampung Manjoi (11 kes, dijangka tamat 8 Mei).
“Dua lokaliti hotspot di Taman Cahaya Bercham dengan 24 kes dan dijangka tamat pada 29 April, manakala di Taman Hillview dengan 12 kes serta dijangka tamat pada 1 Mei ini,” jelasnya.
Berikutan itu, beliau berkata usaha padu dalam melaksanakan aktiviti pencegahan, kawalan dan promosi kesihatan berkaitan kesedaran denggi oleh warga MBI dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kinta serta Ahli Majlis, Pasukan COMBI, Komuniti Rukun Tetangga (KRT) setempat dan semua agensi serta badan sukarela amat diperlukan bagi membendung peningkatan kes denggi.
“Orang ramai dinasihatkan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk melakukan aktiviti pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran kawasan kediaman masing-masing,” ujarnya.
#PerakKini #MBI #denggi #aedes #Ipoh #RBZ
