Veteran tentera tinggal di pondok sebak dapat rumah baharu

Mohd Sobri (kiri) bersama isteri, Zima Abu Talib, 54, terharu menerima rumah menerusi Inisiatif Perumahan Veteran ATM kelolaan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) di Kampung Ulu Chepor di sini, pada Ahad.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang veteran tentera tidak dapat menahan sebak dan terharu apabila menerima rumah baharu yang dibina menerusi Inisiatif Perumahan Veteran ATM kelolaan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) di Kampung Ulu Chepor di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Mohd Sobri Bakar, 63, tinggal di pondok kecil bersama isteri dan anak perempuannya selama empat tahun di Kampung Gapis Padang Rengas, Kuala Kangsar.
Pesara komando itu berkata dia mula bertugas di ATM pada tahun 1982 sebagai anggota Grup Gerak Khas di Kem Slim Cameron Highlands sebelum berhenti selepas 15 tahun berkhidmat.
“Selepas berhenti saya melakukan pelbagai kerja antaranya pemandu lori, kerja kilang, mengambil upah memotong rumput dan bekerja kebun untuk menampung keluarga.
“Saya dan keluarga turut tinggal di rumah sewa beberapa kali sebelum membuat keputusan untuk berpindah di pondok di Kampung Gapis kerana tidak berkemampuan untuk membayar sewa rumah.
“Bagaimanapun, saya bersyukur dan berterima kasih kerana JHEV ATM mengambil perhatian dan segera memproses permohonan saya pada Mac tahun lalu untuk mendapatkan rumah sebelum siap sepenuhnya pada April tahun ini,” katanya.
Mohd Sobri berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM, di Kampung Ulu Chepor, pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Zambery Jeffery Darus berkata, tahun ini JHEV ATM menyasarkan 170 rumah untuk dibaik pulih manakala 40 buah rumah baharu dibina di seluruh negara.
Katanya, sebanyak RM5.7 juta diperuntukan untuk program di bawah inisiatif tersebut.
“Sehingga April tahun ini, sebanyak 147 buah rumah sudah diluluskan bagi kerja baik pulih manakala 32 rumah lagi pembinaan rumah baharu.
“Setiap rumah baharu yang dibina menelan kos sebanyak RM85,000. Daripada jumlah itu, JHEV menyumbangkan sebanyak RM65,000 manakala selebihnya ditanggung Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Ini adalah inisiatif Kementerian Pertahanan dalam menjaga kebajikan pesara tentera yang tergolong dalam kelompok B40 kerana tidak mempunyai rumah atau tinggal dalam kediaman yang daif,” katanya.
#PerakKini #JHEV #ATM #bantuan #rumahbaharu #RBZ
