Tiada agenda jatuhkan kerajaan sedia ada, cuma pertemuan biasa – Ketua Pembangkang DUN Perak

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria menafikan pertemuan beliau dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Perpaduan di negeri ini ada kaitan dalam usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada sebaliknya ia hanya perjumpaan biasa.
Menurutnya, perjumpaan seperti itu sudah menjadi kebiasaan antara beliau dengan ADUN kerajaan negeri untuk saling bertukar fikiran dan berbincang mengenai politik semasa di Perak.
“Memang menjadi kebiasaan saya berjumpa dengan beberapa Ahli Dewan, cuma bertukar-tukar fikiran dan berbincang mengenai keadaan negeri dan keadaan politik semasa, itu biasa dan lebih daripada empat orang pun. Ia perjumpaan pada majlis jamuan, perkara biasa apabila berjumpa kita sembang.
“Kalau Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) kata kerajaan negeri kukuh, dia tak perlu risau dan sekurang-kurangnya rakyat tahu usaha UMNO untuk mengukuhkan kerajaan yang ada,” katanya sewaktu sidang media di Sidang DUN Perak pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Razman berkata isu pertukaran kerajaan tidak mengganggu kestabilan politik dan kemasukan pelabur ke negeri ini.
“Sebelum ini pun berlaku berbagai-bagai pertukaran kerajaan dan di dewan kita sendiri pun berlaku pertukaran kerajaan dan menteri besar.” “Penggal lepas berlaku pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dan pertukaran kerajaan. Apakah dulu kita tak memikirkan soal kestabilan dan juga kemasukan pelabur itu?,” jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menegaskan blok pembangkang itu tidak terlibat dalam cubaan untuk menjatuhkan kerajaan negeri atau membeli wakil rakyat kerajaan.
“Tak timbul soal PN nak membeli (ADUN kerajaan) kerana kami tak ada duit, akaun dibekukan.
“Jangan salah anggap, kami pun berkawan bukan sahaja dalam kalangan kami sahaja tetapi dengan wakil rakyat kerajaan, seperti dalam sesi libat urus, saya duduk sebelah ADUN DAP, tiada masalah malah saya juga berkawan dengan wakil rakyat UMNO, kalau berjumpa kami berbual,” ujarnya.
Pagi tadi Saarani dalam sidang media menegaskan Kerajaan Perpaduan di negeri ini sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus mendukung kestabilan dalam kerajaan sekaligus menafikan dakwaan wujud usaha menjatuhkan pentadbiran sedia ada.
#PerakKini #KerajaanNegeriPerak #PN #pembangkang #RBZ
