MB Perak nafi wujud gerakan jatuhkan Kerajaan Perpaduan di Perak, pentadbiran sedia ada masih kukuh, stabil

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan dakwaan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria kononnya terdapat wakil kerajaan negeri yang menemui Ketua Pembangkang DUN (Dewan Undangan Negeri) Perak itu dalam usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Sebaliknya, beliau berkata Kerajaan Perpaduan di negeri ini sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus mendukung kestabilan dalam kerajaan sekaligus menafikan dakwaan wujud usaha menjatuhkan pentadbiran sedia ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu turut menegaskan Kerajaan Perpaduan di Perak masih teguh dan stabil ketika ini.

“Saya terpanggil untuk menjawab spekulasi yang timbul ekoran kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak itu kononnya ada wakil kerajaan Perak yang datang menemuinya sekaligus memberi gambaran wujud gerakan bagi menjatuhkan kerajaan.

“Tanpa menyatakan sebarang bukti dan asas yang kukuh kenyataan Ketua Pembangkang DUN Perak itu sengaja dibuat untuk membentuk persepsi kononnya wujud pergeseran dan ketidakstabilan dalam kerajaan negeri Perak.

“Untuk itu saya dan rakan-rakan Exco dari kerajaan negeri sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus mendukung kestabilan dalam kerajaan sekaligus menafikan dakwaan wujud usaha menjatuhkan pentadbiran sedia ada,” katanya sewaktu sidang media di Sidang DUN Perak pada Isnin.

Saarani turut meminta supaya Razman mengemukakan nama wakil kerajaan negeri yang dikatakan telah bertemunya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Razman kepada kepada Utusan bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan bertemunya di sebalik khabar angin bahawa kerajaan negeri Perak akan tumbang pada bulan Julai ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata dakwaan itu juga boleh menggugat kepercayaan pelabur yang akan melihat persepsi kepada negeri Perak.

“Komitmen secara kolektif ini bukan saja atas pertimbangan politik tetapi mengambil kira tuduhan dan persepsi negatif yang sengaja dibuat ini boleh menggugat kepercayaan kepada para pelabur sekali menggugat perjalanan ekonomi negeri.

“Saya pun biasa jadi Ketua Pembangkang, jadi kalau kita nak keluar kenyataan kita kena fikirkan kesannya kepada ekonomi negeri.

“Bila digambarkan keadaan negeri tidak stabil gambaran ada kemungkinan bertukar kerajaan, tiada pelabur yang akan datang ke negeri perak kerana kerajaan ‘flip flop’ pertukarsn pemimpin akan menyebabkan pertukaran polisi jadi dia akan mengundang kebimbangan kekhuatiran ketidakyakinan di kalangan pelabur.

“Kerajaan sedia ada bertungkus lumus menarik pelabur sebanyak mungkin ke dalam negeri dan melabur dengan jumlah wang besar berbilion-bilion ringgit perlukan masa yang panjang untuk pelabur mendapat pulangan semula dalam tiga tahun dua tahun bertukar pemimpin kerajaan itu tidak akan memberi keyakinan kepada pelabur,” katanya

Saarani menegaskan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja kuat dan stabil malah semakin kukuh dengan didorong semangat kebersamaan sifat bertanggungjawab dan kesungguhan termasuk untuk menjayakan setiap agenda yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

#PerakKini #KerajaanNegeriPerak #KerajaanPerpaduan #stabil #kukuh #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *