Isu perlindungan hak cipta, kebajikan media akan diberi perhatian – Fahmi Fadzil

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Isu perlindungan hak cipta serta kebajikan pengamal media antara perkara yang akan diambil perhatian oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

 

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata sejak kebelakangan ini banyak hasil kerja seperti gambar dan artikel oleh pengamal media digunakan tanpa kebenaran bertebaran di platform media sosial.

“Hak cipta, hasil titik peluh kerja wartawan dan rakan media di lapangan tapi diambil disalah guna sehinggakan tanda watermark juga dibuang, saya rasa ini antara perkara penting yang perlu kita teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat Rumah Media Perak sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi.

Dalam pada itu, Fahmi berkata rakan media di pelbagai negeri pada masa ini berhadapan dengan keadaan mencabar apabila terdapat kekangan tiada pejabat atau ruang kerja untuk organisasi masing-masing.

“Lawatan ke Rumah Media Perak ini adalah untuk kita cuba memahami keadaan, mungkin cabaran yang dihadapi oleh rakan-rakan media yang bertugas.

“Saya difahamkan ramai rakan media di pelbagai negeri berdepan dengan keadaan yang sedikit mencabar bila biro masing-masing ada atau tidak pejabat atau pun ruang kerja.

“Saya ambil maklum isu-isu yang dibangkitkan, termasuk isu kebajikan secara amnya,” jelasnya.

Pada lawatan itu, Fahmi turut mengumumkan dana sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) bagi menaiktaraf kemudahan di Rumah Media Perak.

#PerakKini #KKD #PPMP #HAWANA2023 #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *