Kebebasan media bukan ‘tiket’ untuk sebar berita berunsur fitnah

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kebebasan media diberikan tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan tiket atau lesen bagi menyebarkan maklumat atau berita berunsur fitnah, tanpa sumber yang sahih.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata penyebaran sedemikian dikhuatiri boleh mengganggu gugat keamanan serta kesejahteraan rakyat dan negara.
Menurutnya, kebebasan media harus dipraktikkan sewajarnya terutama dalam membantu mewujudkan satu bentuk minda keselamatan kepada masyarakat.
“Ini adalah penting bagi memastikan negara kita terhindar daripada isu-isu berhubung dengan sensitiviti perkauman, keselamatan, agama, sabotaj ekonomi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Casuarina@Meru di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata perkembangan era digital pada masa kini sentiasa dihujani dengan maklumat dari pelbagai sumber.
“Melalui kebangkitan media sosial dan komunikasi digital, ia menjadikan penyebaran maklumat atau berita palsu serta kandungan ekstrem di media sosial lebih mudah.” “Berita palsu adalah satu bentuk ‘ancaman’ dari pelbagai aspek termasuk sosial, politik, ekonomi, perhubungan kaum dan agama.
“Natijahnya, berita palsu merosakkan reputasi, menghasut keganasan, dan mewujudkan kekeliruan serta ketakutan
selain boleh mencetuskan panik dalam kalangan orang
awam sehingga ada yang hilang kepercayaan terhadap
usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan,”ujarnya.
Katanya, jika tidak ditangani dengan cermat,
penyebaran berita palsu dalam talian bukan hanya boleh
menyebabkan keadaan panik, malah mampu mengganggu gugat kestabilan dan keselamatan negara.
“Justeru, adalah penting untuk mengiktiraf
peranan yang dimainkan oleh media dalam memerangi
berita palsu.
“Sehubungan itu, dalam konteks penyebaran maklumat, media bukan sahaja berperanan melaporkan berita sahih dan tepat, tetapi juga melindungi rakyat daripada berita palsu melalui kepelbagaian sumber dan kepakaran untuk menyiasat sesuatu cerita dan mengesahkan maklumat tersebut sebelum diolah menjadi bahan berita,” jelasnya.
#PerakKini #KKD #beritapalsu #fitnah #HariWartawanNasional2023 #HAWANA2023 #RBZ
