Kartunis terkenal Datuk Lat diumum penerima Anugerah HAWANA 2023

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Datuk Mohd Nor Khalid yang sinonim dengan nama Datuk Lat diumumkan sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang diadakan di Hotel Casuarina @ Meru pada Ahad.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan menyampaikan anugerah tersebut kepada kartunis tersohor di Malaysia itu sekali gus membolehkan beliau menerima wang tunai RM10,000, trofi serta sijil penghargaan.
Anugerah HAWANA diberikan bagi mengiktiraf jasa, sumbangan serta kecemerlangan individu atau institusi yang telah memperkasa dalam membangunkan industri media dan profesion kewartawanan di negara ini.
Pemilihan Lat adalah berdasarkan sumbangan beliau dalam menyampaikan maklumat serta mendidik masyarakat dalam pelbagai isu menerusi karikatur yang digarap dengan lucu dan berhemah serta tidak kurang dengan sindiran.
Anak kelahiran Kampung Lalang, Gopeng itu mula melukis kartun pada usia 13 tahun dengan karya pertamanya ialah siri ‘Tiga Sekawan’.
Pada 1968, ketika berusia 16 tahun, siri komik beliau – ‘Keluarga Si Mamat’ telah diterima oleh A Samad Ismail (ketika itu Pengarang Berita Harian) untuk disiarkan dalam akhbar Berita Minggu setiap minggu dan berlanjutan selama 26 tahun.
Sebelum bergelar kartunis secara profesional, Lat memulakan kerjayanya sebagai wartawan di akhbar Berita Harian pada 1970 sebelum bertugas sebagai wartawan Meja Jenayah di akhbar New Straits Times (NST) pada 1973.
Pada 1974, Lat menghasilkan kartun pertamanya dalam bahasa Inggeris bertajuk ‘Bersunat’ dan disiarkan oleh The Asia Magazine (terbitan South
China Morning Post).
Karya humor yang memaparkan majlis tradisional orang Melayu Islam itu mendapat sambutan hangat sehingga Ketua Editor NST ketika itu, Lee Siew Yee dan A Samad Ismail menawarkan beliau jawatan pelukis kartun tetap di akhbar
berkenaan.
Tugas pertama beliau di NST ialah merakam kebudayaan Malaysia dalam siri kartun ‘Scenes of Malaysian Life’.
Antara karya lain yang mengangkat nama Datuk Lat ialah ‘Lots of Lat”; ‘Lats Lot’; Kampung Boy; Mat Som dan Dr Who?
Karya-karya Datuk Lat, yang juga ikon keharmonian kaum, menjadi medium komunikasi yang berkesan dalam memupuk perpaduan dan persefahaman sosial dalam kalangan masyarakat.
Sepanjang kerjayanya, Datuk Lat telah menerima pelbagai anugerah termasuk Hadiah Kebudayaan Asia Fukuoka pada 2002 yang mengiktiraf hasil kerja individu dan organisasi yang terlibat dalam memelihara kebudayaan dan kesenian.
Pada 2007 pula, beliau menerima Anugerah Doktor Kehormat dalam Antropologi dan Sosiologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi karyanya yang diiktiraf sebagai catatan visual tentang sejarah Kebudayaan Malaysia.
Pada 2009, Universiti Sultan Idris (UPSI) telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni untuk mengiktiraf ketokohan Lat dalam bidang kebudayaan dankesenian Melayu, yang turut menjadi bahan rujukan untuk pelajar dan para penggiat seni.
Lat juga dipilih sebagai penerima Anugerah Merdeka 2014 bagi kategori pendidikan dan komuniti berdasarkan sumbangan beliau dalam mempromosi identiti budaya Malaysia menerusi penggunaan kartun bagi tujuan promosi pemahaman dalam kalangan komuniti pelbagai etnik di negara ini.
#PerakKini #AnugerahHawana2023 #HariWartawanNasional2023 #KKD #DatukLat #AnwarIbrahim #RBZ
