TINDAKAN TEGAS PENGKHIANAT NEGARA

Oleh Norsharuddin Sapian
LUMUT: Tindakan penulis dan penerbit buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” dilihat satu cubaan mempersenda dan merendahkan simbol negara selain pengkianatan terhadap negara yang perlu dikenakan tindakan tegas.
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lumut, Mohd Rafiq Mohd berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terlibat bagi memastikan perkara yang menyentuh sensitiviti berkaitan dengan negara, agama, raja dan perlembagaan terus dihormati.
“Pemuda UMNO Bahagian Lumut mendesak supaya pihak berwajib menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba menjatuh dan menghina imej negara.
“Walaupun pihak berkenaan telah mengeluarkan permohonan maaf, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap mereka supaya kejadian seperti itu tidak berulang semula di masa hadapan.
“Mereka (penulis dan penerbit) perlu membayar terhadap apa yang telah mereka beli,” katanya selepas membuat laporan polis berkaitan dengan isu itu, petang semalam.
Laporan polis itu dibuat bersama kepimpinan Pemuda Muafakat Nasional Bersama NGO-NGO termasuk Pemuda PAS Kawasan Lumut di Balai Polis Seri Manjung, kira-kira jam 5 petang semalam.



Menurutnya, laporan itu dibuat selepas mendapati terdapat pihak tertentu yang dilihat cuba mempersenda dan mempermainkan Jata Negara ketika mengiklankan sebuah buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” (ISBN : 9789672165811) menerusi laman media sosial pada 29 Jun lalu.
“Ketika melayari laman Facebook melalui telefon bimbit di rumah saya, saya melihat banyak perkongsian di media sosial satu pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books di pautan https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3961434060565004&id=597490066959437] yang mengiklankan sebuah buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia”.
“Buku itu disunting penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.
“Lukisan mirip Jata Negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.
“Rekabentuknya jelas menyerupai Jata Negara yang diubahsuai. Perbuatan ini menggambarkan penulis cuba merendahkan taraf Jata Negara dan memberikan gambaran buruk tentang negara kepada pembaca buku tersebut.
“Saya mengesyaki ianya sengaja dibuat untuk merendahkan taraf lambang rasmi negara selain bermotifkan politik untuk menghasut kebencian kepada negara,” katanya.
Menurutnya, laporan itu dibuat supaya Penerbit, Penulis dan Pengedar buku ini disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Hasutan 1948.
Mohd Rafiq berkata, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga diminta menggantung penerbitan dan pengedaran buku berkenaan bagi mengelakkannya terlepas ke luar negara, sekaligus menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia.

