PRN: Wanita PH sasar 30 peratus kerusi

NIBONG TEBAL – Wanita Pakatan Harapan (PH) mensasarkan calonnya bertanding 30 peratus daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Ketua Wanita PH, Fadhlina Sidek yang juga Ketua Wanita PKR berkata perkara itu bagaimanapun diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.
“Sejak awal Jun lalu lagi, Wanita PH mula digerakkan dengan beberapa siri latihan pilihan raya bagi memastikan jentera kita dilengkapi dengan pelbagai maklumat dan bersiap siaga untuk PRN nanti.
“Pelancaran jentera dan siri ceramah umum Pentas Wanita akan dilaksanakan dalam tempoh kempen kelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
PRN akan berlangsung di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor dan dijangka diadakan secara serentak walaupun tarikh pembubaran berbeza.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata Wanita PH akan bergerak dan bekerjasama dengan Wanita Barisan Nasional (BN) dalam menjalankan kempen pada PRN kali ini bagi memastikan keutuhan Kerajaan Perpaduan. – BERNAMA
