Tajuddin beri tempoh seminggu untuk Khairul Azwan mohon maaf secara terbuka ke atas kenyataan fitnah yang dilemparkan ke atasnya

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memberi tempoh seminggu kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun untuk menarik balik dan memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Tajuddin berkata jika beliau tidak menerima permohonan maaf dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan undang-undang akan diambil ke atas Khairul Azwan atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro itu.
“Saya dah lantik peguam dan beri arahan untuk menulis surat kepada Azwan Bro dan beri tempoh satu minggu untuk membuat kenyataan minta maaf secara terbuka.
“Dalam satu minggu kalau dia (Khairul Azwan) tidak minta maaf dan tarik balik (kenyataan fitnah) secara terbuka saya akan arahkan peguam saya mengambil tindakan undang-undang saman.
“Saya dan rakan-rakan juga akan buat aduan kepada Lembaga Disiplin UMNO terhadap perbuatan fitnahnya itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan di Hotel Impian di sini pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Khairul Azwan yang mahu Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) UMNO untuk tidak menerima rayuan penggantungan keahlian Tajuddin kerana mendakwa bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berterusan memburukkan kepimpinan parti.
Dalam kenyataan itu juga, Khairul Azwan turut mahu memastikan rayuan Tajuddin tidak diterima oleh MKT UMNO.
Dalam perkembangan sama, Tajuddin mendakwa sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, beliau banyak menghabiskan masa, tenaga dan wang dalam membantu jentera Barisan Nasional (BN) di Pasir Salak.
“Saya telah banyak berkorban, sama ada kewangan, masa dan tenaga. Saya memberikan wang saya bukan untuk memenangi pengundi tetapi untuk jentera parti.
“Mereka perlukan wang untuk minum, makan, dan duit minyak. Saya habiskan sehingga RM1 juta, apa lagi yang kamu mahu? Malah calon sendiri (Khairul Azwan) tidak berbuat demikian,” jelasnya.
Tajuddin turut mendakwa bahawa Khairul Azwanl tidak layak menjadi ketua bahagian kerana tindakannya itu boleh memecahbelahkan ahli parti terutama di bahagian Pasir Salak.
Pada ada 9 Jun lalu, Tajuddin mendedahkan sudah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya namun dipandang sepi.
Bagaimana pun dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sentiasa terbuka menerima kembali ahlinya yang dipecat mahupun digantung.
#PerakKini #UMNO #fitnah #mohonmaaf #PasirSalak #RBZ

