2 suspek samun bersiri sekitar Ipoh dicekup polis

Foto Hiasan Media Sosial
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis berjaya menahan dua lelaki yang juga suspek kes samun bersiri di Jalan Kuala Kangsar, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata kedua-dua suspek warga tempatan berusia 28 dan 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 pagi 10 kilometer dari lokasi ragut kurang satu jam selepas kejadian berlaku.
Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian harta benda antaranya beg tangan, telefon bimbit, kad atm, wang tunai dan dokumen peribadi dengan anggaran kerugian sebanyak RM650.
“Polis menerima laporan berhubung kes ragut di hadapan sebuah kilang di kawasan Perindustrian Silibin pada jam 9.15 pagi.
“Hasil daripada tindakan pantas dan kepekaan anggota polis di lapangan, pihak polis telah berjaya menangkap dua orang lelaki warga tempatan berumur 28 dan 32 tahun.
“Selain itu, beberapa barang kes turut dirampas, termasuklah kenderaan yang digunakan oleh suspek dan barangan milik mangsa semasa tangkapan dibuat.
“Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod mendapati kedua-dua suspek ini masing-masing mempunyai 17 dan 11 rekod bersangkut kes-kes jenayah pelbagai kesalahan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 kanun Keseksaan (samun berkawan),” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Beliau berkata dengan tertangkapnya suspek-suspek tersebut, kes berkenaan berjaya diselesaikan.
“Kini, pihak siasatan sedang mengenal pasti berapa jumlah kes samun yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah ini di sekitar Ipoh dan kedua-dua suspek ini akan direman pada 21 Jun (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, siasatan awal pihak polis mendapati dua suspek terbabit bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya tujuh kes samun yang dilaporkan di sekitar Ipoh termasuklah satu kes samun mendatangkan kecederaan melibatkan mangsa seorang warganegara Kanada berumur 73 tahun di Taman Ipoh pada 15 Jun lalu.
“Sehubungan itu, terima kasih diucapkan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga pihak polis berjaya memberkas suspek-suspek terlibat serta menyelesaikan kes ini dalam masa yang singkat, iaitu kurang daripada satu jam selepas kejadian berlaku,” ujarnya.
Masyarakat boleh mendapatkan bantuan khidmat polis dengan menghubungi pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05-254 2222.
#PerakKini #PDRM #samun #ragut #Ipoh #RBZ
