RM22 juta naik taraf, selenggara infrastruktur Ipoh termasuk bina kompleks tempat letak kenderaan 376 lot di Pekan Lama

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pembinaan kompleks tempat letak kenderaan bertingkat yang menyediakan 376 lot parkir di Pekan Lama (Ipoh Old Town) dan penggantian lif baharu di Kinta Heights antara projek penyelenggaraan dan naik taraf di kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang membabitkan peruntukan RM22 juta oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata masalah parkir di Pekan Lama perlu diselesaikan segera memandangkan kawasan itu adalah salah satu lokasi tarikan pelancong.
Menurutnya, kompleks tersebut akan dibina bermula Ogos ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
“Sebanyak RM13.38 juta diluluskan untuk pembinaan kompleks tempat letak kenderaan itu yang menyediakan 370 parkir baharu.
“Kompleks ini secara tidak langsung membantu mengatasi masalah kekurangan parkir di sekitar Pekan Lama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ipoh pada Sabtu.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata lif di beberapa rumah pangsa sekitar bandar raya ini juga akan bertukar wajah iaitu di Kinta Heights dan Flat Seri Kepayang.
“Kemudahan lif baharu menerusi peruntukan KPKT berjumlah RM930,000 sudah diluluskan untuk kerja penggantian tersebut.
“Kerja pemasangan lif itu akan bermula Ogos dan dijangka siap akhir tahun ini.
“Selain itu, flat yang dibina pada tahun 1980-an itu juga akan menjalani kerja naik taraf infrastruktur seperti menggantikan bumbung rosak dan cat baharu.
“Akhirnya, penantian penduduk untuk kediaman mereka dinaik taraf sejak 23 tahun lalu sudah berakhir,” ujarnya.
Katanya, sebanyak RM4.25 juta diluluskan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) untuk penggantian lif dan naik taraf perumahan Flat Seri Kepayang serta RM2 juta untuk Rumah Pangsa Bercham.
“Selain itu, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja culvert (pembentungan) longkang besar di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Balai Polis Sungai Senam bagi mengatasi masalah banjir kilat,” jelasnya.
#PerakKini #KPKT #MBI #naiktaraf #Ipoh #RBZ
