Parlimen Tambun bantu 12 keluarga kurang berkemampuan baik pulih, bina baharu rumah

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang warga emas yang tinggal di Kampung Masjid Tambun di sini bersyukur apabila dipilih menerima bantuan baik pulih rumah daripada Parlimen Tambun dan Pejabat Pembangunan Negeri Perak sekali gus dapat membaiki rumah pusaka berusia lebih 80 tahun milik bapanya yang sudah usang.

Noor Azmi Iskandar, 70, berkata rumah yang diperbuat daripada kayu itu sudah rosak dimakan bubuk dan ada bahagian atap zink yang bocor sehingga menyebabkan air masuk ketika berlaku hujan lebat dan angin kencang.

Menurutnya, rumah dua tingkat itu didiami 13 orang termasuk dirinya, isteri, anak, menantu dan cucu.

     Noor Azmi Iskandar, 70, dari Kampung                                   Masjid Tambun.

“Saya gembira dan bersyukur kerana mendapat bantuan baik pulih rumah ini. Kalau harap untuk baiki sendiri, saya kurang berkemampuan.

“Alang kayu banyak yang rosak akibat dimakan bubuk. Jika angin kuat ketika hujan lebat, zink akan terangkat dan air akan masuk ke dalam rumah,” katanya yang kini meniaga kasut terpakai di Loken.

Dia ditemui ketika Lawatan Semakan Permohonan Keperluan Bantuan Rumah di Parlimen Tambun oleh Pejabat Pembangunan Negeri Perak.

Turut hadir pada Program tersebut adalah Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri, wakil dari Pusat Khidmat Parlimen Tambun, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta serta Pejabat Pembangunan Negeri Perak.

      Kamarulzaman Yang Mat Din, 82, dari                                     RPA Ulu Kinta.

Seorang lagi penerima bantuan, Kamarulzaman Yang Mat Din, 82, yang menetap di Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2, Ulu Kinta berkata rumahnya sering dimasuki air disebabkan keadaan atap bocor di beberapa bahagian rumah.

Bekas atendan Hospital Bahagia Ulu Kinta itu sudah tinggal lebih 20 tahun di rumah tersebut bersama isteri dan seorang anak.

“Masalah kerosakan rumah ini atap bocor lebih daripada setahun.

“Jadi, saya rasa seronok, gembira dapat bantuan. Tak kisah sedikit atau banyak, saya terima,” jelasnya

         Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun,                       Mohamad Hairul Amir Sabri.

Sementara itu, Mohamad Hairul Amir berkata sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi kerja baik pulih dan bina baharu bagi 12 rumah terpilih sekitar Parlimen Tambun.

“Bantuan baik pulih rumah kita tengok pada tahap kerosakan. Semua rumah tidak sama tapi melihat kepada keperluan rumah itu.

“Bagi kriteria pemilihan penerima bantuan, keutamaan diberikan kepada orang miskin dan mereka yang kurang berkemampuan,” jelasnya.

#PerakKini #ParlimenTambun #bantu #baikpulih #rumah #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *