Perketat garis panduan pengambilan guru, pengasuh taska elak ‘tragedi’

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Garis panduan bagi pengambilan guru atau pengasuh taska perlu diperketatkan bagi mengelakkan kes pengabaian dan penderaan terhadap kanak-kanak tidak berulang.
Penggiat dan Aktivis Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Tina Tajuddin berkata pengusaha atau pengendali taska perlu memandang serius perkara itu serta tidak menjadikan profesion tersebut sebagai ‘tangkap muat’ disebabkan desakan ekonomi atau terpaksa.
Menurutnya, pengusaha perlu mempunyai ilmu pendidikan awal kanak-kanak dan mengamalkannya supaya ibu bapa akan lebih yakin serta percaya terhadap tahap keselamatan anak-anak mereka di bawah jagaan guru atau pengasuh.
“Sudah tiba masanya profession guru tadika atau pengasuh taska diberi tumpuan lebih serius dan bukan sekadar tangkap muat.
“Saya berpendapat guru atau pengasuh di tadika dan taska yang terjebak dalam isu penderaan dilihat menceburi bidang ini secara bidan terjun.
“Ada di antara mereka tidak minat untuk menjaga kanak-kanak tetapi disebabkan ‘terpaksa’ bukan datang dari jiwa.
“Disebabkan itu wujud kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang secara tidak langsung mencemarkan profession guru serta pengasuh sehingga memberikan persepsi negatif kepada pengusaha dan pengendali yang menjalankan bidang ini mengikut standard yang sepatutnya,” katanya pada satu sidang media pada Sabtu.
Pengasas Taska Ibu Tina itu berkata pengusaha atau pengendali taska dan tadika perlu mengambil guru yang bukan setakat berilmu dan berkemahiran semata-mata tetapi perlu mempunyai jiwa sebagai guru.
“Perkara ini perlu dimulakan di peringkat sekolah lagi khususnya pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang memilih kerjaya dalam bidang ini.
“Lambakan program pendidikan awal kanak-kanak tidak membantu sekiranya hanya menawarkan atas dasar keuntungan semata-mata.
“Sudah tiba masanya kriteria mereka yang ingin menceburi bidang ini mendapat bimbingan yang betul sebelum menceburi bidang ini,” jelasnya.
#PerakKini #taska #tadika #guru #pengasuh #RBZ
