Fahmi santuni bekas wartawan uzur, sampaikan sumbangan

Oleh Rosdalilah Zahari
KAMPAR – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan Ng Kan Seng, 69, bekas wartawan bebas yang kini sudah uzur dan tidak dapat menjalankan tugas seperti dulu.
Dia yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan pernah bertugas di beberapa akhbar berbahasa Cina seperti Nanyang Siang Pau, Kwong Wah Yit Poh, China Press dan Sin Chew Daily.
Malah, kini dia yang hilang punca pendapatan perlu menjaga abangnya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan isterinya yang lumpuh seluruh badan.
Sehubungan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turun padang ke rumahnya di Mambang Diawan, di sini bagi menyampaikan sumbangan melalui Tabung Kasih@Hawana yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang lalu.
Tabung itu bertujuan untuk menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.
Terdahulu, di Batu Gajah, Sekretariat HAWANA 2023 turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada pemberita sambilan Bernama, Razif Rosli yang menghidap penyakit buah pinggang dan gout.
Bantuan disumbangkan oleh KKD, Bank Rakyat Malaysia Berhad, Pusat Pakaian Hari-Hari, Mydin, Aeon Big, MSM Malaysia Holdings Berhad dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Selain Kan Seng dan Razif, seramai 10 lagi pengamal media telah menerima sumbangan Tabung Kasih@Hawana sejak 14 April lalu.
#PerakKini #TabungKasihHawana #KKD #bantu #wartawan #uzur #sakit #RBZ
