Susulan murid ditimpa tangki pam tandas: Sekolah perlu pantau, selia keadaan fizikal tandas elak tragedi
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan Perak menyeru supaya sekolah di negeri ini menjalankan pemantauan dan penyeliaan fizikal tandas supaya ia dijamin selamat untuk kegunaan murid.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata pelbagai sudut perlu dilihat terutamanya penilaian daripada jabatan teknikal yang ada kepakaran untuk menentukan jenis tandas mengikut kesesuaian lokasi dan kemampuan daya tahan tempat memandangkan Jabatan Pendidikan tidak mempunyai jabatan berkenaan.
Menurutnya, agensi teknikal terbabit adalah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pembangunan Luar Bandar (JPLB) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
“Kesesuaian penggunaan jenis tangki pam tandas (seramik atau plastik) bergantung pada penilaian yang dibuat jabatan teknikal.
“Kalau tak sesuai (tangki pam tandas) seramik, kita guna plastik dan yang paling penting kena pastikan keselamatan murid diutamakan.
“Jadi, perkara tersebut perlu dibincang secara teliti dan terperinci bersama jabatan teknikal kerana urusan ubah suai, naik taraf (tandas) adalah di bawah bidang kuasa jabatan tersebut seperti JKR, JPLB, PDT dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyantuni Nur Asliza Mohd Sapri, 18, pemenang pingat emas bagi acara lontar peluru sewaktu Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023 yang berlangsung di Jerman Jun lalu pada program Ziarah Cakna di Persiaran Taman Taiping, Jalan Pasir Puteh, di sini, petang tadi.
Sebelum ini media melaporkan, Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan cedera di bahagian kiri kepala selepas ditimpa tangki pam tandas yang diperbuat daripada seramik tercabut dalam insiden Selasa lalu.
#PerakKini #murid #cedera #ditimpa #pamtandas #Exco #KerajaanNegeriPerak #RBZ