Polis Perak kenal pasti beberapa kuarters perlu diselenggara, naik taraf

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis Perak sudah mengenal pasti kuarters usang melibatkan beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sekitar negeri ini yang perlu diselenggara dan dinaik taraf.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata penyelenggaraan dan kerja naik taraf itu akan dilaksanakan menggunakan sebahagian peruntukan RM50 juta untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Menurutnya, antara kuarters yang dikenal pasti termasuklah di IPD Gerik, Kampar dan Ipoh.

“Alhamdulillah, PDRM Perak ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberi perhatian berkenaan kebajikan pembangunan dan juga hal ehwal supaya isu penyelenggaran dan logistik PDRM terjaga sepenuhnya.

“Kita juga tidak terkecuali menerima peruntukan tersebut namun kita tidak dapat umumkan lagi kerana masih belum diberikan secara terperinci.

“Melalui peruntukan ini, kita akan gunakan untuk membaiki kuarters terlibat bagu memberi keselesaan kepada warga PDRM supaya mereka dapat beri perkhidmatan lebih cemerlang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pelepasan dan menyertai Kayuhan Mega Perpaduan PDRM Perak 2023 di perkarangan Stadium Indera Mulia pagi Ahad.

Mohd Yusri berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Jabatan Logistik untuk kenal pasti dan buat pembaikan dan berikan peruntukan itu kepada balai-balai atau kuarters yang memerlukan pembaikan tersebut.

Pada 17 Julai lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Penjara di seluruh negara

#PerakKini #PDRM #naiktaraf #selenggara #kuarters #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *