2 warga emas maut, kemalangan babit 2 kereta, bas ekspres

Oleh Rosdalilah Zahari
MANJUNG – Dua warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta dan sebuah bas ekspres di Kilometer (KM) 4 Jalan Sitiawan – Ipoh, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya dimaklumkan berhubung jam 6.20 pagi berhubung kemalangan tersebut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku pada jam 6 pagi membabitkan sebuah bas jenis Scania dari arah Ipoh menuju ke arah Sitiawan bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.
“Kemudiannya, Proton Saga tersebut berpusing ke arah Sitiawan dan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Persona yang datang dari arah Sitiawan.
“Pemandu kereta Proton Saga itu dipandu seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun dan penumpang hadapan seorang perempuan warga berumur 68 tahun. Kedua-duanya, maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata dua pemandu bas dan tiga penumpang 32 dan 44 tahun, dua penumpang lelaki masing-masing berumur antara 25 hingga 44 serta pemandu kereta Proton Persona seorang lelaki berumur 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-655 9693 bagi membantu siasatan.
#PerakKini #PDRM #kemalangan #maut #Sitiawan #RBZ
