Polis cari kumpulan lelaki gaduh atas jalan di Tanjung Rambutan

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang bertindak ganas memukul seorang lelaki menggunakan rotan dalam satu insiden gaduh atas jalan seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata kejadian itu dipercayai berlaku lebih kurang jam 5.30 petang di Batu 8, jalan Tanjung Rambutan-Tambun, di sini.
Menurutnya, kejadian itu membabitkan lima orang lelaki warga tempatan.
“Berikutan itu, polis kini sedang menyiasat punca kejadian dan mengesan individu-individu yang terlibat dalam kes ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki, di talian 010-379 0508.
Dalam rakaman klip berdurasi 16 saat itu dua lelaki dipercayai sedang bertengkar sebelum salah seorang daripadanya bertindak memukul dengan senjata dipercayai rotan.
Dua lelaki lain kemudiannya turut serta memukul dan menumbuk mangsa sehingga rebah ke atas jalan sebelum ketiga-tiga mereka bertindak melarikan diri menggunakan motosikal.
#PerakKini #PDRM #pukul #rotan #RBZ
