Kemelut pemilihan calon Nik Abduh, Dominic akan reda – Ahmad Faizal

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kemelut pemilihan calon dalam Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlaku di beberapa negeri terlibat dilihat akan reda dalam masa terdekat.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata setiap kali pilihan raya sudah pasti ada pihak yang tidak berpuas hati dengan beberapa individu yang tercalon.

Menurutnya, lambat laun isu tersebut akan reda dan berakhir dengan baik.

“Alhamdulillah kita atasi dengan amat baik dan kami sentiasa menekankan kepada ahli-ahli kita bahawa yang bertanding ini adalah parti kita.

“Calon tersebut hanya mewakili kita. Akhirnya apabila kita memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri, kita bekerja sebagai satu pasukan.

“Ini bermaksud kita semua orang penyokong parti adalah calon pilihan raya pada hari ini tetapi calon dinamakan itu sekadar wajah mewakili parti kami,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Kemasukan Keahlian Baru Bersatu Perak di pekarangan pejabat Bersatu Perak.

Hadir sama, pada majlis itu, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Chong Fat Full dan Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Ahmad Faizal berkata demikian bagi mengulas bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz yang tidak terpilih sebagai calon bagi PRN Kelantan dan ahli-ahli Pas Pulau Pinang bertindak memboikot pencalonan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau berkata fokus PN adalah untuk memenangi seberapa banyak kerusi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor pada PRN ini supaya misi membentuk kerajaan di negeri-negeri tersebut tercapai.

“Kita hendak memenangi seberapa banyak kerusi untuk memungkinkan membolehkan kita menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan sambil mempertahankan kerajaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Jangan risau walaupun ada pertikaian pada mulanya, kita lihat pada hari ini selepas semalaman selepas penamaan calon keadaan semakin reda,” jelasnya.

#PerakKini #PerikatanNasional #PN #PilihanRayaNegeri #PRN #AhmadFaizalAzumu #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *