Lebih 200 sertai Bersatu Perak akibat rasa kecewa, dikhianati

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Lebih 200 menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak selepas berasa kecewa dan dikhianati.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata mereka berasa demikian selepas parti yang mereka sokong sebelum ini mengadakan kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membentuk kerajaan di negeri Perak.
Menurutnya, perkara ini berlaku usai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada tahun lalu.
“Mereka menyertai Bersatu selepas berasa dikhianati dikecewakan parti lain seperti UMNO yang berkata tidak akan bekerjasama dengan DAP, Anwar Ibrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan sebagainya.
“Kerjasama itu mereka lihat sebagai satu penipuan dan akhirnya mereka ambil pendekatan untuk menyertai Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Kemasukan Keahlian Baru Bersatu Perak di pekarangan pejabat Bersatu Perak.
Hadir sama, pada majlis itu, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Chong Fat Full dan Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Seramai 107 orang menyertai ahli bersekutu dan 100 ahli biasa yang kebanyakannya terdiri daripada ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) berusia 35 tahun ke bawah.
Katanya, pelbagai masalah dihadapi yang menunjukkan kerajaan sedia ada lebih mementingkan perihal politik berbanding kebajikan rakyat.
“Jadi kita perlu bersatu hati, InsyaALLAH di dalam pilihan raya akan datang saya mengharapkan bukan sahaja orang Melayu, Cina, dan kaum lain akan bersatu hati di bawah panji Perikatan Nasional (PN) dan di bawah komponen PN supaya kita dapat memegang kembali tampuk pentadbiran kerajaan pusat dan kerajaan di negeri-negeri lain,” ujarnya.
#PerakKini #Bersatu #PerikatanNasional #PN #RBZ
