Tindakan penularan petikan titah Sultan Nazrin disifatkan tidak beretika, mencemarkan institusi diraja

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Dewan Negara Perak menggesa supaya penularan petikan video titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang tersebar di platform media sosial baru-baru ini dihentikan serta merta kerana disifatkan tidak beretika, tidak sopan dan mencemarkan institusi diraja.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, video yang ditularkan oleh seorang wanita itu hanya memuat naik satu bahagian kecil titah baginda yang pada ketika itu Pemangku Raja Perak yang dizahirkan di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bertema, ‘Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran pada 19 Februari 2013.

Menurutnya, dalam wacana tersebut, baginda menzahirkan analisis melibatkan dua buah parti terbesar Melayu, UMNO dan PAS, yang merupakan dua kuasa politik Melayu dominan ketika itu.

“Baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap PAS (pada tahun 2013) tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO.

“Titah baginda mengandungi 7,500 patah perkataan dan mengambil masa 90 minit semasa dizahirkan.

“Bahagian yang memuji PAS hanyalah petikan pendek begitu juga pujian terhadap UMNO dan tidak timbul bahawa baginda hanya memandang tinggi mengenai PAS,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata titah baginda sarat menghuraikan sejarah kedua-dua parti Melayu tersebut dan demi kebaikan bangsa dan negara, pentingnya untuk ummah mencari jalan menjalinkan persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik yang berbeza.

“Baginda memberikan ulasan seimbang antara dua buah parti politik Melayu dan menzahirkan peringatan kepada kedua-dua pihak supaya keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecahbelahkan bangsa dan memusnahkan negara,” katanya.

Mohd Zahidi berkata dipercayai ada pihak yang memilih memetik titah Sultan Nazrin Shah pada tahun 2013 untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong PAS dalam suasana menjelang Pilihan Raya di enam buah negeri pada 12 Ogos ini.

“Demi melindungi nama baik DYMM Paduka Seri Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk meraih laba politik, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak membuat laporan polis pada 29 Julai lalu,” jelasnya.

Katanya, melalui kenyataan media ini, ditegaskan bahawa Sultan Perak tidak memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik.

#PerakKini #PDRM #DewanNegara #SultanPerak #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *