MBI berjaya tangani 90 peratus lokasi pembuangan sampah haram sejak dua tahun lalu

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kira-kira 90 peratus daripada lebih 3,000 tempat pembuangan sampah haram berjaya dibasmi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam tempoh dua tahun.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata pencapaian tersebut adalah satu perkara yang baik dalam merealisasikan matlamat MBI untuk menjadikan Ipoh bandar raya terbersih.
“Kita berjaya kurangkan tapak pelupusan haram lebih daripada 3,000 kepada hanya 120 kira-kira 90 peratus dalam tempoh dua tahun,” katanya kepada media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulan Julai MBI di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pelbagai program dan usaha yang dijalankan MBI bagi menangani isu pembuangan sampah haram itu.
Menurutnya, MBI mula memperkenalkan perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal secara percuma mulai tahun 2021.
“Sebanyak 17 lori terbuka baru dibeli untuk menjayakan perkhidmatan ini perkhidmatan tersebut berjalan dengan lancar dan tersusun mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Selain itu, kita turut mengadakan program pengedaran tong sampah secara percuma kepada penduduk di bandar raya Ipoh.
“Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 68,850 tong diedarkan setiap hujung minggu mengikut gilirn Zon Ahli Majlis sejak program ini mula diperkenalkan pada tahun 2021,” jelasnya.
Rumaizi berkata sebanyak 569 papan tanda ‘Larang Membuang Sampah’ juga dipasang di lokasi-lokasi ‘hot spot’ pembuangan sampah haram sejak 2021 sehingga 30 Jun lalu.
“Operasi Unit Anti-Litter yang lebih tegas dan kerap berjaya mengawal pembuangan sampah haram dengan mengeluarkan 189 kompaun bernilai RM189,000 setakat akhir bulan lalu.
“Daripada jumlah itu sebanyak 59 kompaun bernilai RM59,000 telah dibayar,” ujarnya.
Beliau menambah pembinaan pusat pengumpulan sampah domestik di kawasan kampung turut menyumbang kepada pengurangan lokasi ‘hot spot’ sampah haram. “Setakat ini, sebanyak 13 pusat pengumpulan dibina dan kutipan sampah dijalankan setiap hari,” katanya.
#PerakKini #MBI #sampahharam #RBZ
