‘Dinosaur Park’ pertama di Perak bernilai RM7 juta bakal dibuka di Gunung Lang

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Perak bakal menambah produk pelancongan terbaharu iaitu taman dinosaur atau ‘Dinosaur Park’ di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh yang akan memulakan pembinaannya pada tahun hadapan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata pembinaan taman seluas 2.43 hektar yang bernilai RM7 juta itu akan meliputi dua fasa pembinaan.

Menurutnya, perbezaan ‘Dinosaur Park’ ini berbanding taman sedia ada adalah ia terletak di dalam Eco Park yang berada di bawah kawasan Geo Park Lembah Kinta.

Katanya, fasa pertama melibatkan pembinaan dinosaur statik dan animatronic, pusat pembelajaran yang mampu menampung 100 pelajar pada satu masa dan kedai cenderahati.

“Pusat pembelajaran itu akan memberi maklumat dan pengetahuan berkenaan habitat, paleontology dan lain-lain berkaitan dinosaur.

“Pembinaan fasa satu dijangka akan dimulakan pada awal tahun hadapan sebaik sahaja kesemua pelan-pelan diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan pembinaan ‘Dinosaur Park’ di Taman Rekreasi Gunung Lang bersama syarikat Pebec Berhad yang diwakili Pengerusinya, Norali Nordin.

Rumaizi berkata pembinaan fasa dua akan dimulakan dalam tempoh satu tahun dari tarikh pembukaan namun bergantung kepada sambutan.

“Pembangunan fasa dua akan merangkumi teater 3D/4D dan kawasan permainan air,” katanya.

Sebelum ini, terdapat enam taman dinosaur yang sudah beroperasi di Malaysia iaitu The Top Komtar (Pulau Pinang), Resort World (Genting Highlands), Pusat Sains Negara (Kuala Lumpur), Zoo Teruntum (Kuantan), Zoo Melaka (Melaka) dan Jurassic Land (Tuaran, Sabah).

#PerakKini #MBI #DinosaurPark #GunungLang #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *