PAPAN TANDA DIROSAKKAN KONONNYA SAYANGKAN MONYET

Oleh: Norsharuddin Sapian
SERI MANJUNG: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawap yang bertindak merosakan papan tanda larangan memberi makan kepada monyet liar di Taman Desa Manjung, Seri Manjung dengan menyembur cat sehingga menutupi arahan larangan tersebut.
Papan tanda larangan itu dibina sebagai inisiatif pihak MPM memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak memberi makan kepada monyet liar bagi memastikan kebersihan dan keselamatan penduduk sekitar terpelihara.
“Arahan tidak memberi makanan kepada monyet liar bertujuan untuk memastikan haiwan tersebut tidak keluar dari habitat dan menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk setempat termasuk menyelerakkan tong-tong sampah.
“Bagaimanapun, terdapat segelintir pihak yang masih berdegil dan enggan mematuhi arahan tersebut, malah tergamak melakukan vandalisme terhadap papan tanda tersebut.
“Kami memahami kasih sayang mereka sebagai pencinta haiwan tetapi tidak perlu bertindak seolah-olah menjadi ibu dan bapa angkat kepada monyet liar tersebut sehingga mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.
“Biarlah monyet liar itu menikmati ekosistem dan mendapatkan makanan daripada sumber alam semula jadi,” kata Jurucakap Unit Korporat Dan Perhubungan Awam MPM menerusi satu kenyataan, hari ini.


Menurut kenyataan itu, papan tanda arahan yang dipasang pihak MPM itu, bertujuan sebagai peringatan serta untuk mendidik orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya memberi makanan kepada monyet liar berikutan aduan kacau ganggu melibatkan haiwan itu daripada penduduk setempat.
Katanya, pihak MPM memohon kerjasama orang awam untuk turut sama membanteras masalah kacau ganggu monyet liar dengan mematuhi arahan larangan tersebut.
“Perbuatan merosakkan harta benda awam itu sekaligus menunjukkan tahap mentaliti pihak yang tidak bertanggung jawap itu.
“Pihak MPM boleh mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka berdasarkan Undang-undang Kecil Vandalisme (Majlis Daerah Manjung) 1992.
“Pelaku boleh dikompaun sehingga RM250 dan jika disabitkan di mahkamah, mereka juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pihak MPM merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA yang telah memberi sumbangan papan tanda Larangan Memberi Makan Kepada Monyet di Taman Paya Bakau, Lumut, dekat sini.
Papan tanda tersebut mengandungi unsur pendidikan mengenai kesan negatif yang timbul daripada tindakan memberi makanan kepada monyet liar iaitu boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius kepada haiwan tersebut termasuk tidak cukup nutrisi, obesiti, keracunan makanan serta boleh membawa kepada kematian.
