BERHENTI KERJA DEMI JAGA ANAK TERKENA VIRUS

Oleh Intan Efazila Md Yusop
TANJUNG MALIM:Kasih seorang bapa kepada anak memang tiada tandingannya sehingga sanggup berhenti kerja demi menjaga anak yang terlantar dan kini tidak mampu berjalan akibat jangkitan virus, dekat sini.
Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik, C.Sharvin, 13, disahkan mengalami jangkitan virus yang menyerang saraf dan tulang di bahagian kaki kirinya sejak lapan tahun yang lalu.
Pada bulan Februari yang lalu akibat jangkitan virus itu menyebabkan beliau tidak mampu berjalan lagi, akhirnya bapanya, K.Chandran, 57, terpaksa berhenti kerja di pusat latihan memandu untuk menjaga anak lelakinya itu.



Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah Muallim, Yee Jee Kwong berkata apabila mendapat maklumat tentang nasib yang menimpa pelajar terbabit, beliau bersama Sukarelawan MCA Muallim terus mengunjungi keluarga terbabit.
Katanya, tanpa membuang masa beliau bersama sukarelawan terus membuat permohonan bantuan kerusi roda dan membawa Sharvin menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memohon kad Orang Kelainan Upaya (OKU) atas masalah fizikal sebelum diserahkan permohonan kepada Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Muallim.
” Untuk meringankan beban keluarga terbabit, pihak kami juga membantu membuka buku akuan bank untuk Sharvin untuk kemudahan masa depan terutama bagi memudahkan penyaluran bantuan daripada pihak berkenaan.
” Kami terharu dan simpati apa yang dialami oleh Sharvin dan kagum dengan semangat bapanya yang sanggup berhenti kerja demi menjaga anaknya itu,” katanya ketika dihubungi, dekat sini.
Permohonan awal, untuk meringankan beban dan memudahkan Sharvin bergerak mendapat perhatian daripada JKM daerah yang meluluskan segera bantuan kerusi roda.
Kwong berkata keperihatinan pihak JKM telah membuat Sharvin dan keluarganya tersenyum.gembira kerana sekurang-kurangnya bantuan awal dapat mengurangkan kesusahan yang dilalui keluarga ini.
Katanya, beliau bersyukur dan gembira kerana dapat membantu Sharvin dan keluarganya menjalani kehidupan sebagai menjalankan tanggungjawab sesama manusia.

