Isu tular ‘tarian ekstrem’ di Port Fest 2023: Penganjur mohon maaf, kejadian di luar kawalan

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – People of Remarkable Talents (PORT) memohon maaf berhubung isu video tular di media sosial yang didakwa memaparkan aksi ‘tarian ekstrem’ membabitkan pengunjung sewaktu festival seni Port Fest 2023 di Dataran Ipoh pada 20 Ogos lalu.

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin menjelaskan bahawa insiden ‘tarian ekstrem’ oleh segelintir penonton sewaktu persembahan UBS Band di konsert pada malam itu adalah sesuatu yang bukan sengaja diatur dan berada di luar kawalan pihak penganjur.

“Sehubungan itu, pihak penganjur dengan ini memohon maaf sekiranya adegan tarian yang sedang diviralkan telah menyentuh sensitiviti sebahagian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata kaedah untuk penganjuran konsert seterusnya sedang dikaji agar peristiwa seperti itu dapat dielakkan pada masa hadapan.

Semalam, Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun turut memberikan teguran kepada pengunjung dan pihak berwajib agar tidak berlaku lagi konsert yang melampau sebegini.

Beliau yang turut menyaksikan video tular itu menyatakan video tersebut jelas terlihat anak-anak muda Islam lelaki dan perempuan bercampur bebas menunjukkan gerak tari yang memalukan.

“Dikatakan istilah ‘budak step’ bermaksud (gerak tari aksi melampau gaya poco-poco). Ini terjadi bukan di luar negara tetapi di negara kita sendiri,” katanya.

#PerakKini #PortFest2023 #tular #video #tarianekstrem #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *