Jangan jadikan masjid monumen sepi – Sultan Nazrin

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan di atas penubuhan Majlis Perundingan Masjid yang diwujudkan buat pertama kali di Malaysia serta melantik 55 orang sebagai Ahli Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak pada Rabu.

Baginda bertitah idea penubuhan majlis Perundingan itu dicetuskan melalui majlis syura, iaitu program percambahan minda yang diadakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)  dengan ahli-ahli jawatankuasa masjid di negeri Perak pada Januari lalu.

Titah Baginda, ahli-ahli majlis perunding tersebut perlu berfikiran besar, membolehkan masjid berperanan secara lebih dinamik serta dikeluarkan dari kotak sempit, dimerdekakan dari kepompong pemikiran lama yang telah diformulasikan secara terancang oleh penjajah pada masa lalu.

Justeru, titah Baginda, melalui majlis ini diharap berlaku perubahan minda dan perubahan budaya yang menghasilkan ramuan dan kaedah baharu untuk mengimarahkan masjid di sekitar negeri ini.

“Banyak masa terlibat dalam urusan merancang pembinaan sesebuah masjid, dan banyak sumber digunakan untuk membina sesebuah masjid.

“Oleh itu falsafah di sebalik pembinaan masjid harus diselami dan difahami supaya belanja besar membina bangunan tersergam, dilengkapi pendingin udara, dihamparkan permaidani tebal, disilaukan cahaya ‘chandelier’, tidak menjadi monumen sepi, sekadar dimakmurkan seminggu sekali pada hari Jumaat, 30 malam setahun pada bulan Ramadhan, dua pagi setahun pada pagi Aidilfitri dan Aidiladha.

“Selebihnya, masjid tinggal dalam isolasi sebagai bangunan sepi lagi sunyi. Banyak masa, banyak usaha, banyak belanja, banyak sumber digunakan untuk membina masjid, dan sewajarnya diperlengkap dengan usaha untuk mengimarahkan masjid,” titah Baginda.

Sultan Nazrin bertitah sewaktu Majlis Pengurniaan Watikah Ahli-Ahli Majlis Perundingan Masjid di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Baginda bertitah, Nabi Muhammad SAW tidak sekadar membina masjid, tetapi membangunkan masjid sebaik sampai ke Madinah.

“Baginda lebih mengutamakan komponen perisian untuk mengimarahkan masjid.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah meletakkan masjid berperanan sebagai pusat pentadbiran, pusat pembangunan ilmu, pusat pembangunan budaya dan pusat pembangunan ekonomi.  Membangunkan, memakmurkan dan mengimarahkan masjid ialah sunah.

“Beta gembira mengikuti kemajuan yang berjaya dicipta oleh beberapa buah masjid di negeri Perak melalui program-program yang memenuhi keperluan dan memberi manfaat kepada masyarakat.  Kejayaan-kejayaan tersebut hendaklah dijadikan contoh ikutan oleh masjid-masjid di negeri Perak,” titah Baginda.

#PerakKini #SultanNazrin #MAIPk #titah #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *