Sambutan Hari Kebangsaan tetap diteruskan esok – MB

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perak tetap diteruskan di perkarangan Stadium Perak seperti yang dijadualkan esok.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata walaupun sebahagian daripada persiapan yang dilakukan musnah akibat hujan lebat dan angin kencang petang tadi namun agensi dan jabatan berkaitan terlibat segera tampil ke lokasi untuk membaik pulih segala kerosakan tersebut.
Menurutnya, persiapan tersebut sudah dilaksanakan sejak seminggu lalu namun kejadian ribut ini menyebabkan khemah diterbangkan angin, karpet basah dan beberapa kelengkapan rosak.
“Persiapan ini sudah dilaksanakan sejak seminggu lalu tapi petang tadi ribut berlaku. Walau bagaimanapun dengan komitmen yang tinggi pelbagai agensi dan jabatan sekarang mereka sedang membuat pembinaan semula kelengkapan dan dijangka siap malam ini.
“Rakyat Perak tak perlu bimbang apa-apa. Esok kita jemput datang beramai-ramai menyaksikan perarakan.
“Ini adalah peluang untuk kita menunjukkan jati diri, kesyukuran ke atas kemerdekaan yang kita kecapi,” katanya.
Beliau ditemui ketika melakukan tinjaun persiapan sambutan kemerdekaan yang rosak akibat kejadian ribut yang melanda pekarangan Stadium Perak di sini pada Rabu.
#PerakKini #StadiumPerak #hujanlebat #ribut #RBZ
