Sultan Nazrin saksi perbarisan Hari Kebangsaan bersama 25,000 pengunjung

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 peringkat negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Keberangkatan baginda ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bersama dua anakanda, Raja Kecil Bongsu, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya pada jam 8.22 pagi.

Turut berangkat Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah.

Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin dan barisan Exco kerajaan negeri.

Sambutan bermula dengan perarakan masuk panji unit dan kawalan kehormatan utama dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kontinjen pembawa bendera Malaysia berarak di hadapan Sultan Nazrin pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri Perak.

Kontinjen pembawa bendera Malaysia berarak di hadapan Sultan Nazrin pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri Perak.

Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Division, Kem Sangro, Taiping.

Acara diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diikuti bacaan doa oleh Imam Besar, Abdul Farid Salleh.

Seterusnya, lafaz ikrar Hari Kebangsaan disampaikan 16 orang pelajar daripada Kolej Pra Universiti Kolej Profesional

Sambutan Hari Kebangsaan kali ini diserikan dengan persembahan koir gabungan dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Sam Tet dan SMJK Ave Maria Convent yang menyampaikan lagu Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, Tangga 31 dan Jalur Gemilang.

Persembahan muzikal Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan turut memeriahkan suasana sambutan Hari Kebangsaan pada pagi ini.

Persembahan muzikal di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak yang disertai 66 peserta.

Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 91 kontinjen melibatkan 4,855 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Antara kontinjen yang menyertai perbarisan adalah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk perarakan aset-aset jabatan.

Kira-kira 25,000 rakyat negeri ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum memeriahkan sambutan dengan menunjukkan semangat patriotik.

#PerakKini #SambutanHariMerdeka2023 #PerkaranganStadiumInderaMulia #Ipoh #Perak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *