Wira negara hilang kaki demi pertahankan negara tercinta 45 tahun lalu diberi penghargaan

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kehilangan kaki kiri sehingga paras buku lali akibat jerangkap samar ketika menyertai Op Kota Echo kira-kira 45 tahun lalu menjadi ‘tanda’ Sarjan (B) Hassanuddin Abd Karim, 75, pernah berkhidmat untuk menjaga keamanan negara.

Bekas anggota Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM) itu berkata operasi tersebut dijalankan bagi menjejak kehadiran komunis di Klian Intan.

Menurutnya, kesan terkena jerangkap samar itu beliau mengalami cacat kekal dan kini bergerak menggunakan kaki palsu.

“Ketika kejadian itu berlaku, isteri saya sedang tujuh bulan mengandungi anak ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, pada Khamis.

Pada majlis itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyantuni sembilan wira negara termasuk Hassanuddin terdiri daripada bekas anggota keselamatan yang banyak menyumbangkan jasa dan bakti demi mempertahankan negara tercinta.

Wira-wira negara itu terdiri daripada tujuh Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta masing-masing seorang pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Mereka menerima Sijil Wira Negara dan sumbangan wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang.

Dalam pada itu, Hassanuddin berkata selain peristiwa terkena jerangkap samar, beliau juga dapat melupakan situasi ketika menyertai Op Gonzales pada April 1974.

#PerakKini #HariKemerdekaanKe66 #wiranegara #komando #Perak #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *