KPKT mohon peruntukan RM300 juta untuk bina tandas awam bertaraf ‘BMW’ di seluruh negara

Menteri KPKT, Nga Kor Ming sewaktu mengadakan lawatan kerja ke Rumah Pangsa Seri Kepayang di sini pada Sabtu.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memohon peruntukan sebanyak RM300 juta bagi membina tandas awam bertaraf ‘BMW’ (bersih, menawan, wangi) di 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata permohonan itu dibuat kementerian melalui Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober ini.

Katanya, pembinaan tandas itu adalah salah satu daripada 29 inisiatif kewangan baharu untuk membawa agenda reformasi kemudahan awam negara.

“Permohonan peruntukan itu dibuat menerusi bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican sewaktu sesi dialog Belanjawan 2024, dua hari lalu.

“Selain, RM300 juta untuk pembinaan tandas kita juga memohon RM100 juta untuk menukar semua lampu mentol tradisi kepada LED atau tenaga yang lebih lestari, mampan serta hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Rumah Pangsa Seri Kepayang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamed Akmal Dahalan.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata KPKT menyasarkan 10,000 unit MyKiosk menjelang 2024 bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat.

Beliau berkata pembinaan MyKiosk ini secara tidak langsung membantu peniaga golongan B40 meningkatkan keupayaan peniagaan melalui pemberian kadar sewaan rendah.

#PerakKini #KPKT #tandasawam #Belanjawan2024 #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *