Ubah suai motosikal secara ekstrem, tiada insurans antara kesalahan tertinggi

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kesalahan mengubahsuai motosikal secara ekstrem serta tiada insurans adalah antara yang tertinggi direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan penunggang motosikal sepanjang Operasi Khas Motosikal 2023 yang dilaksanakan bermula 1 September sehingga semalam.
Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, sepanjang operasi tersebut berlangsung, sebanyak 64,980 motosikal diperiksa dan 33,092 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan manakala 1,516 buah motosikal disita.
Menurutnya, 50 peratus daripada kesalahan yang dilakukan melibatkan kegagalan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya oleh penunggang motosikal.
Katanya, sepanjang tempoh operasi, pihaknya turut mengeluarkan notis atas kesalahan utama yang lain antaranya termasuklah tiada insurans (11,445 notis) dan tiada lesen memandu (9, 496 notis).
“Pada operasi tersebut sebanyak 1,315 kes membabitkan pelbagai kesalahan termasuk ubah suai motosikal secara ekstrem membabitkan bahagian ekzos, membuang sistem brek belakang termasuk pengubahsuaian bagi meningkatkan kelajuan motosikal,” katanya pada sidang media dalam operasi tersebut di Bangunan Sri Kinta di sini malam tadi.
Dalam pada itu Lokman berkata kesalahan mengubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan juga boleh menjadi punca kemalangan kerana mengundang bahaya kepada penunggang dan juga pengguna jalan raya lain.
“Kita memandang serius kesalahan tersebut dan motosikal yang tidak boleh diubah kembali kepada struktur asal akan disuraikan serta dilelong kerana tidak lagi boleh berada di jalan raya atas faktor keselamatan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata operasi tersebut dilaksanakan menggunakan kaedah risikan atau penyamaran di lampu isyarat lokasi tumpuan, sekatan jalan raya (SJR) dan ‘snap check’ membabitkan laluan motosikal di sekitar Ipoh.
Katanya, operasi malam tadi membabitkan 85 pegawai dan anggota dari JPJ ibu pejabat serta JPJ Perak dengan kerjasama bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
#PerakKini #PDRM #OpsKhasMotosikal2023 #rempit #Ipoh #RBZ
