Selamat jalan dan terima kasih ‘Blake’

Oleh Rosdalilah Zahari

ANJING Pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Blake, terpaksa ditidurkan pada jam 4.38 petang semalam selepas dikesan menghidap barah limfoma.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Facebook Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Blake didiagnosis menghidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu.

Katanya, anjing pengesan dari disiplin Cadaver itu dimasukkan sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, University Putra Malaysia (UPM) pada 14 September lalu apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing tersebut.

“Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respon kepada ubat dan rawatan yang diberikan pihak veterinar malah barah limfoma yang dikesan semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar.

“Hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, Dr Nur Alimah Rahman, pihak jabatan bersetuju dengan keputusan untuk menidurkan Anjing Pengesan Blake kerana kesihatannya yang merosot secara mendadak, tiada harapan dipulihkan serta mengelakkan anjing ini menderita dari kesakitan selain mengambil kira kebajikan anjing tersebut,” jelas kenyataan tersebut pada Selasa.

Blake adalah anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017.

Anjing Pengesan ini banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; operasi mencari dan menyelamat (SAR) kepala air di Titi Hayun dekat Yan, Kedah dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak di Pahang.

“Kehilangan Blake sudah pastinya dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang telah disumbangkan sepanjang berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. Selamat jalan Blake,” ujarnya.

#PerakKini #JBPM #KPKT #Blake #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *