STOK BEKALAN DARAH MENCUKUPI

TAIPING– Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan stok bekalan darah negara pada masa ini mencukupi dan stabil.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata biarpun begitu namun negara masih memerlukan penderma-penderma supaya tampil secara berterusan bagi memastikan ianya diparas optimum.

“Had umur bagi penderma darah adalah diantara 18 hingga 70 tahun dan saya dapati banyak penderma-penderma ini adalah diperingkat usia pertengahan malah ada yang berusia hampir 70 tahun.

“Justeru golongan muda disarankan agar lebih aktif dan tampil menderma darah bagi memastikan bekalan darah negara sentiasa berterusan dan tidak terputus.

” Hari ini saya seronok melihat ada penderma darah yang turut tampil bersama ahli keluarga mereka dan turut sama-sama menderma darah. Ini merupakan satu tindakan yang perlu diteruskan dan dicontohi semua,” katanya ditemui media selepas merasmikan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Perak di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) disini, hari ini.

Menurut Noor Azmi lagi, selain dari pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada penderma darah aktif, pihak kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif menarik kepada golongan ini.

” Bagi penderma darah yang aktif, antara inisiatif yang diberikan kerajaan adalah mereka akan mendapat laluan express dan tidak dikenakan bayaran jabatan pesakit luar.

” Bagi yang menderma lebih 30 kali, mereka ini akan ditempatkan di wad kelas pertama sebagai salah satu usaha kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

” Diperingkat sekolah pula kita turut hadir memberi penerangan dan kesedaran dari peringkat awal,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *