Anwar sahkan Nurul Izzah jadi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM, tak dibayar elaun

Anwar sewaktu merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru petang tadi. - Foto BERNAMA

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada beliau berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Bagaimanapun, menurutnya tiada sebarang elaun dibayar kepada Nurul Izzah yang memikul tugas tersebut.

Katanya, beliau sendiri yang mempelawa anak sulungnya itu untuk membantu menjadi penasihat di Pejabat Perdana Menteri.

“Memang saya minta dia (Nurul Izzah), pelawa dia untuk membantu saya menjadi penasihat di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepadanya,” jelasnya.

Beliau memaklumkan perkara itu pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru petang tadi.

Menyentuh mengenai keraguan sesetengah pihak berhubung kelayakan Nurul Izzah bagi memegang jawatan penasihat memandangkan beliau adalah pemegang ijazah kejuruteraan elektrik dan elektronik, Anwar berkata jika dilihat bukan semua menteri yang dilantik mengikut kelulusan yang diperoleh.

“Saya pun tiada kelulusan dalam bidang kewangan bila dilantik menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun.

“Menteri-menteri dari Perikatan Nasional (PN) pun tiada juga. Menteri-menteri dari Bersatu dan Pas pun tiada juga dari kelulusan masing-masing, tapi bila kita dibangkitkan (soal kelulusan).

“Kalau dibangkitkan mesti konsisten. Apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti doktor? Ataupun seorang Menteri Air mesti engineer (jurutera). Tiada pernah berlaku macam itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi Nurul Izzah ijazah pertama yang diperoleh dalam jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik manakala ijazah kedua diperoleh daripada salah satu universiti terkemuka di Amerika iaitu University John’s Hopkins dalam jurusan Dasar Awam Politik, Ekonomi dan Sosial.

Terdahulu, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh membuat pendedahan berhubung pelantikannya itu dalam satu temu bual bersama akhbar The Star.

#PerakKini #PMX #NurulIzzah #PenasihatKananEkonomidanKewangan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *