Ayam hanya RM4 sempena Karnival Sekuriti Makanan 2030 di Tualang Sekah esok

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Harga ayam serendah RM4 seekor?
Itu antara yang ditawarkan kepada orang ramai sempena Karnival Sekuriti Makanan @ Perak Sejahtera 2030 yang akan berlangsung di Arena Rakyat Tualang Sekah, Kampar selama dua hari bermula esok.
Orang ramai boleh mendapatkan harga ayam serendah RM4 seekor itu pada sesi jualan ‘happy hour’ termasuk telur gred B yang dijual cuma RM10 sepapan.
Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) menerusi kenyataannya memaklumkan karnival berkenaan dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perak.
Menurutnya, karnival ini adalah yang kedua diadakan selepas kali pertama diadakan pada 4 hingga 5 September lalu di Dewan Milinieum, Lubok Merbau, Kuala Kangsar.
“Tujuan utama ia dilaksanakan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai di seluruh Perak mendapatkan barangan keperluan harian berasaskan produk industri asas tani (IAT),” kata kenyataan berkenaan.
Katanya, makanan dan Hiliran juga akan dijual dengan harga rendah serta diskaun yang tinggi berbanding di pasaran.
“Jualan murah ini melibatkan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian Negeri Perak (anak-anak pokok buah-buahan, sayur-sayuran), PPPNP (daging lembu dan kambing segar).
“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (produk IAT), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (produk IAT berasaskan daging), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (nanas dan produk IAT) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (kendera saji),” ujarnya.
Pada karnival tersebut turut diadakan pelbagai kursus daripada jabatan dan agensi kerajaan untuk orang ramai seperti viral marketing anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan subsidi ujian mamogram dan HPV DNA oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Dalam pada itu, acara sampingan iaitu program Kayuhan Perak Sejahtera@ Kampar membabitkan jarak sejauh 10 kilometer (km) di sekitar kawasan Tualang Sekah turut berlangsung dan pelepasan kayuhan dijangka disempurnakan isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubir.
Di sepanjang laluan kayuhan berkenaan, peserta akan menanam anak-anak pokok kelapa serta durian di empat lokasi berbeza iaitu di Kampung Tebing Tinggi, Dewan Orang Ramai, Kampung Rahmat, Masjid Kampung Tualang Sekah dan Kampung Tanjung Bakong.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad juga dijadualkan akan meluangkan masa mengadakan sesi penerangan berkaitan Perak Sejahtera 2030.
Sesi penerangan itu akan tertumpu kepada bidang sekuriti makanan buat para petani, penternak serta usahawan yang terlibat secara langsung dalam sektor pertanian, penternakan serta perikanan.
Justeru, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan karnival ini.
#PerakKini #SADC #KarnivalSekuritiMakanan #TualangSekah #Kampar

