BATS Aviation ucap takziah kepada mangsa kapal terbang terhempas, maklum siasatan punca nahas masih diteruskan

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Bats Aviation Sdn Bhd (Bats Aviation) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Kapten Fajim Juffa Mohd Mustafa Kamal, 52, yang terbabit dalam nahas pesawat ringan terhempas pada 1 Ogos lalu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebooknya, Bats Aviation turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam urusan pengebumian Allahyarham Fajim Juffa.
Antaranya termasuklah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak hospital yang terlibat.
Selain itu, Bats Aviation meluahkan rasa syukur bahawa seorang lagi mangsa yang terbabit dalam kejadian pesawat ringan terhempas Selasa lalu Kapten Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, kini sedang menerima rawatan rapi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil.
Bats Aviation memaklumkan pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca insiden itu dan pihaknya akan terus menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Pada 1 Ogos lalu, Fajim Juffa maut manakala Muhammad Din Fikri cedera dalam kejadian pesawat ringan jenis Piper PA 28-161 terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah – Sungai Rokam berhampiran jejantas menuju ke Sungai Pinji dekat Medan Gopeng, di sini.
Jenazah Allahyarham Fajim Juffa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor pada 2 Ogos lalu.
#PerakKini #BatsAviation
