Bazar Ipoh (Kompleks Silveritage) masih hidup!
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Meskipun kebanyakan sektor ekonomi sudah beroperasi semula namun premis-premis perniagaan di Bazar Ipoh yang sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Silveritage masih kurang mendapat sambutan daripada orang ramai.
Exco Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata orang ramai dilihat masih tidak menyedari kewujudan bazar berkenaan atas faktor-faktor tertentu.
Berikutan itu, beliau akan memaklumkan perkara terbabit kepada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) supaya mereka dapat mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu usahawan di bazar berkenaan.
“Alhamdulillah, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memberi jenama baru dengan menamakannya Bazar Ipoh dalam usaha untuk menghidupkan semula kawasan ini.
“Bagaimanapun, melalui pemantauan yang saya lihat hari ini, masalah utamanya adalah bagaimana cara terbaik untuk menarik pelanggan ke mari.
“Berikutan itu, ramai yang sudah menutup perniagaan mereka akibat kurang mendapat sambutan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Perak Kini selepas merasmikan kedai pakaian dan peralatan sukan Factory Outlet di Bazar Ipoh, di sini, petang tadi.
Hadir sama, Pengurus Factory Outlet, Samira Muhd Azmi dan Rakan Kongsi Factory Outlet, Badrul Hisham Mohd Yazid.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairul Shahril turut mengucapkan terima kasih kepada Majuperak Holdings Berhad (Majuperak) yang telah memberikan diskaun 70 peratus di atas kadar sewaan premis susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun peniaga agak khuatir jika diskaun ini ditamatkan.
“Menyedari hakikat itu, kita akan memanjangkan perkara ini kepada Majuperak agar mempertimbangkan kadar sewaan baharu supaya lokasi tersebut dapat menjadi tumpuan hebat kepada orang ramai sekali gus memberi impak cukup baik kepada peniaga,” ujarnya.
Beliau juga memuji tindakan peniaga yang berjumpa dengannya terlebih dahulu untuk memaklumkan mengenai masalah yang dialami.
“Saya mengucapkan terima kasih (kepada peniaga) kerana berjumpa dengan kita dan kita akan sampaikan (masalah) ke saluran yang betul.
“Inilah yang sebaiknya dan mereka (peniaga) tidak menggunakan saluran yang salah dan sebagainya yang akhirnya boleh memberi kesan negatif kepada kita semua,” jelasnya.
Sementara itu, Samira ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Khairul Shahril yang sudi melawat premis perniagaannya serta cakna akan masalah yang dihadapi peniaga-peniaga di bazar terbabit.
“Kalau boleh, kami mohon supaya pihak berkenaan dapat mempertimbangkan untuk mengurangkan kadar sewaan memandangkan kami baharu sahaja mahu memulakan semula perniagaan selepas PKP,” ujarnya.