Belum ada permintaan ahli UMNO dipecat untuk sertai PH – Anwar

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Pakatan Harapan (PH) setakat ini belum menerima sebarang permintaan daripada ahli UMNO yang dipecat pada Jumaat lalu untuk menyertai parti itu.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata bagaimanapun, jika terdapat ahli UMNO yang berhasrat untuk menyertai parti itu, pandangan daripada pemimpin komponen PH perlu diambil kira.

“Saya meninggalkan UMNO dah lama dan ini (pemecatan ahli UMNO) sebenarnya keputusan dalaman parti dan lembaga disiplin.

“Tidak ada timbul lagi sebarang pelawaan untuk bersama (PH) dan sekiranya ada kita akan teliti dan mendapat pandangan pimpinan lain berhubung perkara itu demi kerukunan dan kedamaian Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru petang tadi.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dipecat keahliannya dari UMNO.

Selain itu, ahli UMNO yang digantung hak-hak dalam parti selama enam tahun adalah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; Ketua UMNO Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Keputusan itu ditetapkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu.

#PerakKini #PH #UMNO #pecat #pertimbang

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *