TAIPING - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Perak (Bersatu), Abdul Halim Md Nayan menyangkal dakwaan bahawa Bersatu bakal menjalinkan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) hanyalah fitnah politik murahan bagi mengelirukan rakyat.
Beliau menyatakan pendirian Armada Perak ketika menghadiri Program Korban Perdana dan Kenduri Rakyat 2026 bertempat di Taman Kota Jaya, Simpang pada pagi Khamis.

Halim Nayan berkata, tuduhan ini adalah sangat tidak berasas, berniat jahat dan secara jelas bertujuan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat serta ahli-ahli Bersatu khususnya akar umbi Armada Perak.
"Saya menegaskan dengan jelas sebagai Ketua Armada Perak dan Ahli Pimpinan Majlis Tertinggi (MPT) Bersatu, tidak pernah ada usul, agenda, perbincangan atau mesyuarat MPT untuk menjalinkan kerjasama bersama PH.
"Hari ini, saya mencabar mana-mana pihak yang membuat tuduhan ini, sila kemukakan bukti yang sahih dan jangan hanya berselindung disebalik naratif jahat, persepsi serta permainan media sahaja,"ujarnya.

Beliau turut menambah, ini adalah taktik fitnah politik murahan yang dibayar untuk melaga-lagakan pimpinan, memecah perpaduan Bersatu serta melemahkan Perikatan Nasional (PN).
"Fokus utama Bersatu adalah memperkasakan parti, memperkukuhkan Perikatan Nasional sebagai blok pembangkang yang kuat, stabil dan diyakini rakyat.
"Saya menyeru seluruh pimpinan dan akar umbi Bersatu supaya terus fokus memperkukuh perpaduan dalaman parti serta menolak budaya fitnah yang merugikan perjuangan bangsa dan negara," katanya.