BN Gopeng akan bertemu pemaju Residensi Taman Raia Harmoni

GOPENG – Isu kelewatan penyerahan kunci rumah Residensi Taman Raia Harmoni di Kepayang yang dibangunkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan diberi perhatian agar dapat diselesaikan segera.

Ia susulan aduan sekumpulan pembeli yang buntu berikutan pemajunya kerap menunda tarikh penyerahan kunci kediaman itu.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gopeng, Cally Ting Zhao Song berkata, pihaknya menerima aduan tersebut dan turut bersimpati dengan perkara yang timbul.

Menurutnya, ini kerana kediaman berkenaan telah pun siap dan sepatutnya para pembeli telah menerima kunci kediaman masing-masing mengikut sepertimana dalam terma pembelian.

“Kita prihatin dengan situasi ini, apatah lagi kebanyakannya adalah pembeli rumah pertama dan masih muda dalam lingkungan usia 25 hingga 40 tahun.

“Pihak saya akan berhubung dengan pemaju perumahan ini dalam masa terdekat untuk mendapatkan gambaran sebenar dan apa permasalahan jika ada agar jalan penyelesaian dicapai,” ujarnya.

Residensi Taman Raia Harmoni atau dahulunya dikenali sebagai Residensi Sungai Raia mempunyai 376 unit kediaman dan telah pun siap kesemuanya sejak dimulakan pada tahun 2017.

Projek pembinaan PR1MA Residensi Sungai Raia sebelum ini pernah berhadapan dengan kelewatan tetapi dapat diselesaikan apabila pembinaan disambung pada 2021.

Semalam, sekumpulan pembeli rumah PR1MA ini meminta bantuan BN Gopeng menyelesaikan isu kelewatan penyerahan kunci kediaman setelah aduan seruan kepada wakil rakyat sebelum ini gagal diselesaikan.

Dakwa mereka, pihak pemaju kerap berdolak dalik berhubung tarikh penerimaan kunci yang sepatutnya pada 15 Oktober lalu tetapi ditunda beberapa kali atas pelbagai alasan.

Antara alasan diberi seperti sijil layak menduduki belum diperolehi, pemasangan pam air, pembaikan kerosakan, masalah lampu jalan dan lain lain.

Sebahagian besar pembeli juga telah membuat bayaran kepada bank sejak setahun lalu termasuk pembeli melalui pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

#PerakKini #BarisanNasional #ParlimenGopeng #PRU15

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *